KUCHING: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Projek Keusahawanan Madu Kelulut dengan kerjasama Pusat Kelestarian Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ini melalui Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sebagai inisiatif memperkasa ahli BAKAT dengan kemahiran menjana pendapatan berasaskan produk semula jadi dengan diterajui oleh Ketua Projek, Profesor Dr. Zainab Ngaini, seorang penyelidik berpengalaman bidang inovasi produk dan kelulut.
Antara pengisian utama projek ialah kursus pembuatan sabun madu kelulut, dikendalikan oleh Ummu Aqilah, pengasas jenama NGEGEH by WAMB Malaysia.
Peserta juga mempelajari teknik formulasi sabun menggunakan madu kelulut asli, kawalan kualiti, serta kaedah penghasilan produk yang memenuhi piawaian pasaran.
Selain itu, Bengkel Khusus Pembuatan Label dan Pembungkusan Sabun yang dikendalikan oleh Azlandy Mohammid Ali Tuah bagi pendedahan kepada peserta tentang asas penjenamaan, reka bentuk label profesional, teknik pembungkusan menarik, dan penyediaan maklumat produk.
Dengan gabungan latihan praktikal, kreativiti penjenamaan, dan sokongan peralatan asas, inisiatif ini memberi peluang nyata kepada ahli BAKAT untuk memulakan usaha kecil berasaskan madu kelulut serta diharapkan memperkukuh ekonomi keluarga warga ATM melalui produk bernilai komersial yang dihasilkan sendiri.
