Malaysia wujudkan jaringan kuasa, perkukuhkan Grid Tenaga ASEAN

KUCHING: Malaysia mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh kerjasama tenaga di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) melalui penambahbaikan Memorandum Persefahaman (MoU) Grid Tenaga ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Malaysia mewujudkan jaringan kuasa bersama dengan tiga negara ASEAN iaitu Thailand, Singapura dan Laos.

Dalam sektor perniagaan tenaga pula katanya, antara yang telah dipersetujui adalah antara Malaysia dengan Vietnam dan Sarawak dengan Singapura.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan grid tenaga ini dalam membolehkan jual-beli tenaga elektrik, termasuk tenaga boleh diperbaharui, antara negeri dan negara.

“Kita perlu menaik taraf sistem grid kita supaya semua tenaga boleh diperbaharui dapat dimasukkan ke dalam sistem dan begitu juga di Sarawak, kita perlu menaik taraf grid supaya kita boleh mula menjual tenaga tersebut,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan program Malam Warisan Budaya Bangsa Madani Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Sarawak 2025, di sini, malam tadi.

Dengan konsep dan mekanisma sama, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yakin bahawa ia dapat digunakan untuk kerjasama dengan negara ASEAN yang lain termasuk Grid Borneo antara Sarawak dengan Kalimantan, Brunei Darussalam, Sabah dan kemungkinan Filipina pada masa yang akan datang.

“Jadi, itulah perkara yang akan kita perincikan mekanismenya nanti, tetapi contoh kejayaan sudah pun wujud, iaitu antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura. Konsep ini boleh digunakan untuk semua negara anggota ASEAN yang lain,” ujar beliau lagi.

Terdahulu semasa berucap, beliau menggesa anggota-anggota ASEAN terus bekerjasama baik dalam sektor tenaga mahupun ekonomi, seterusnya membawa rantau ini menjadi antara yang terkaya di dunia.