SIMUNJAN: Bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Sadong bernilai RM28.7 juta kini siap sepenuhnya dan sedia digunakan pelajar serta guru.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, projek pembinaan semula sekolah itu merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia dan siap 16 Mei lalu.
“Bangunan baharu ini dilengkapi bengkel elektronik, makmal sains, makmal komputer, studio reka bentuk, blok akademik tiga tingkat, kantin serta kuarters guru,” katanya.
Rodiyah berkata demikian semasa Program Mercy Mathematics di SMK Simunjan No. 1, yang turut menyaksikan 96 pelajar Tingkatan 4 dan 5 menerima sumbangan kalkulator saintifik, di sini hari ini.
Turut hadir penceramah khas daripada Casio Malaysia bagi membantu pelajar meningkatkan kemahiran penggunaan kalkulator.
