Banjir: Mangsa perlu daftar PPS, elak tercicir bantuan

KUCHING: Sarawak memiliki rangkaian kemudahan simpanan bekalan strategik yang lengkap termasuk depoh berskala besar dan mini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan bekalan asas sentiasa tersedia untuk mangsa yang memerlukan.

“Sarawak mempunyai sebuah depoh di Limbang, depoh berskala besar di Kuching dan Kota Samarahan, serta beberapa mini depoh berbentuk kontena yang digerakkan mengikut keperluan setempat,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan itu sentiasa dalam keadaan bersedia dan berfungsi sebagai pusat logistik bagi memastikan bekalan makanan, minuman dan keperluan harian disalurkan dengan cepat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu, hari ini.

Katanya, sebanyak lapan depoh utama disediakan di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Nancy turut menekankan bahawa mangsa banjir yang berpindah dan berdaftar di PPS akan menerima bantuan mencukupi. Manakala, mereka yang kekal di kediaman sendiri digalak mendaftar bagi memastikan tiada keluarga tercicir daripada menerima bekalan dan khidmat keselamatan.

‘’JKM telah melaksanakan sistem pendaftaran kendiri melalui myIBJKM, yang dimulakan di Kuching dan kini digunapakai di seluruh negara,” katanya.