SEBAUH: Penduduk di kawasan terjejas banjir khususnya di Ulu Sebauh diingatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, banjir yang melanda kawasan berkenaan disifatkan sebagai luar biasa apabila paras air mencatatkan tahap tertinggi.
Menurut beliau, situasi tersebut merupakan kali pertama direkodkan di kawasan berkenaan dan berlarutan selama tiga hari, dipengaruhi hujan berterusan serta fenomena air pasang.
“Setakat pemerhatian hari ini, paras air menunjukkan sedikit penurunan sekitar dua hingga tiga inci, namun keadaan boleh berubah apabila air pasang pada sebelah petang. Jika hujan berterusan, paras air dijangka meningkat semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau keadaan Rumah Raymond Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh yang terjejas akibat banjir semalam.
Tambahnya, beberapa kawasan seperti Segan dan Silas menunjukkan pengurangan paras air, namun laluan ke beberapa rumah panjang dan kampung masih terputus, menyebabkan kawasan terjejas tidak dapat diakses sepenuhnya.
Keadaan itu tegasnya memerlukan pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Sebauh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh yang kini menempatkan ratusan mangsa banjir.
“Sekiranya keadaan bertambah buruk, pihak berkuasa akan mengenal pasti lokasi tambahan untuk dijadikan PPS,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya segera berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Beliau turut menegaskan peranan ketua masyarakat dan ketua kaum sebagai penghubung utama bagi menyelaras bantuan serta menyampaikan maklumat kepada pihak Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.
Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan terutama di media sosial, sebaliknya memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha pengurusan bencana.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Sebauh, Thaddeus Ling serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan. – UKAS
