KUALA RAJANG: Seramai 389 pelajar menerima sumbangan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang di sini.
Mereka dari tujuh sekolah di Zon Tanjung Manis yang melibatkan kawasan Belawai dan Rajang iaitu SMK Belawai, SK Abang Gesa Belawai, SK Abang Buyuk Jerijih, SK Abang Galau Rajang, SK Batang Sebayang dan SK Stalun.
Dalam program dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Kuala Rajang itu, pelajar menerima sumbangan berupa beg sekolah, kasut, tabung air serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan 2026 dengan lebih selesa dan teratur.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata inisiatif tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak.
“Ini dalam memastikan kebajikan golongan kurang berkemampuan sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam aspek pendidikan,”katanya.
Sementara itu, pengagihan bantuan bagi Zon Sarikei yang melibatkan 11 buah sekolah dan seramai 822 orang penerima dijadualkan akan dilaksanakan selepas selesai pengagihan di Zon Tanjung Manis.
