1,500 projek infrastruktur bawah Premier Sarawak

KUCHING: Sarawak menyaksikan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran di bawah Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak komited memperuntukkan lebih RM21.8 bilion untuk pembangunan infrastruktur.

“Lebih 1,500 projek itu telah siap atau sedang dijalankan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Amanat Perdana 2026 Premier Sarawak yang dirasmikan Premier Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching ( BCCK) di sini, hari ini.

Douglas berkata, projek itu merangkumi Sistem Aliran Transit Automasi (ART), jalan raya, air, elektrik, kemudahan awam, termasuk pembinaan sebanyak 20 jambatan yang bernilai RM6.7 bilion.

Beliau berkata, sebanyak lapan projek pembinaan jambatan terbabit berjaya disiapkan pada 2025.

“Sembilan lagi jambatan berada di landasan yang betul untuk disiapkan pada 2026,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua projek tersebut dibiayai Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, kejayaan Sarawak mempertahankan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pengukuhan kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), penubuhan institusi kewangan pembangunan negeri serta pelaksanaan pendidikan tinggi percuma sebagai antara dasar berimpak tinggi yang telah mengubah landskap pembangunan negeri.

“Dasar-dasar ini melonjakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi baharu yang berteraskan inovasi, teknologi hijau dan kesejahteraan inklusif.

“Semua pencapaian ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kepimpinan Premier Sarawak yang berani membuat keputusan strategik serta sokongan padu seluruh jentera perkhidmatan awam,” tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat dan penjawat awam terus bersatu padu serta memberi sokongan padu kepada kepimpinan negeri dalam merealisasikan aspirasi pembangunan jangka panjang wilayah ini.