Penubuhan AirBorneo bukan raih keuntungan, keutamaan untuk rakyat

KUCHING: Sarawak memperkenalkan AirBorneo dengan pendekatan baharu untuk menstabilkan tambang penerbangan, menjadikan tiket itu lebih mampu milik tanpa mengutamakan keuntungan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tambang itu hanya berdasarkan kos penerbangan sebenar dan kapasiti tempat duduk, manakala kos operasi lain ditanggung kerajaan.

Beliau menjelaskan, kaedah ini memastikan harga tiket wajar dan tidak terbeban oleh kos tersembunyi, berbeza dengan model syarikat penerbangan komersial.

‘’Strategi ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan syarikat swasta, tetapi keutamaan jelas kepada rakyat, bukannya keuntungan,’’ katanya semasa Townhall 9 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak di Hikmah Exchange, Jalan Haji Taha di sini, malam ini.

AirBorneo katanya, digambarkan sebagai jambatan ekonomi selaras dengan pembangunan infrastruktur lain seperti 22 jambatan, menghubungkan Sarawak dengan bandar utama dan destinasi luar.

Serentak dengan itu, Abang Johari turut menekankan ketidakstabilan harga tiket ketika musim perayaan, yang memberi tekanan kepada rakyat, termasuk pesakit yang perlu ke Kuala Lumpur untuk rawatan kanser dan sebagainya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap pendekatan baharu itu dapat mempermudahkan akses perjalanan dan rawatan.