KUCHING: Kerajaan Sarawak menyerahkan kepada mahkamah untuk menilai dan memutuskan isu kawal selia petroleum yang dibangkitkan PETRONAS.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, isu ini melibatkan kuasa kedua-dua pihak, iaitu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
“Saya tiada komen lanjut. Biarlah mahkamah yang tentukan kerana ia melibatkan kedua-dua pihak,” katanya ringkas selepas Majlis Amanat Perdana 2026 Premier Sarawak – Sembilan Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Abang Johari menjelaskan, bahawa perkara ini tidak memberi kesan besar kepada negeri kerana ia hanya bertujuan mendapatkan panduan perundangan.
Berhubung penyelesaian antara PETRONAS dan PETROS, beliau menambahkata ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan mahkamah.
“Kita ikut undang-undang sedia ada dan biarlah mahkamah tentukan langkah seterusnya,” ujarnya.
Sebelum ini, PETRONAS memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan penjelasan tentang peraturan dan kawal selia yang digunakan dalam operasi petroleum di Sarawak.
Keputusan ini dibuat selepas beberapa siri perbincangan sejak 2024 bersama PETROS, susulan masih wujud perbezaan pandangan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai kepada PETRONAS.
