SIBU: Pengunjung Bazar Ramadan Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini, boleh membuat aduan terus melalui aplikasi WhatsApp yang akan diumum dalam tempoh terdekat oleh penganjur berhubung kebersihan serta kualiti juadah.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapa’ee, menerusi aduan yang diterima, pihaknya akan meminta Jabatan Kesihatan membuat pemeriksaan mengejut.
Katanya, pihaknya juga akan turut menjalankan pemantauan.
“Jika aduan itu didapati benar, kita akan arahkan gerai ditutup serta-merta selama dua minggu,” katanya ketika selepas merasmikan Bazar Ramadan Sibu, semalam.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka mengingatkan pengusaha gerai agar sentiasa memastikan juadah berbuka puasa berkualiti, bersih dan tidak basi bagi mengelak dikenakan tindakan tegas selain mendatangkan kemudaratan kepada pembeli.
Sementara itu, beliau berkata Bazar Ramadan Sibu pada tahun ini menampilkan konsep berbeza di mana jualan pelbagai juadah digabungkan dengan kemudahan tempat untuk berbuka puasa kepada l pengunjung dan ruang untuk bergerak agak luas berbanding tahun sebelumnya.
Tambah beliau, sebanyak 108 gerai didirikan dengan lebih teratur dan kemas.
