Cadangan jadikan Kuching Heritage Lights and Floral Festival sebagai acara tahunan

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bersedia membantu menyuntik dana penganjuran ‘Kuching Heritage Lights and Floral Festival’ sebagai acara tahunan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana pihaknya bercadang mahu menjadikan festival ini sebagai acara tahunan dalam usaha menambahkan lagi keindahan kawasan Tebingan Kuching dan bandar raya ini.

Beliau melihat festival ini memberi manfaat kepada golongan usahawan terutama yang terlibat dalam penanaman dan penjualan bunga serta buah-buahan.

“Kementerian saya pun boleh membantu kerana kita mempunyai peruntukan untuk melakukan program seperti ini,” tambahnya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan perasmian Kuching Heritage Lights dan Floral Festival 2024’ di Pangkalan Sapi dan di Tebingan Kuching di sini, malam tadi.

Festival yang julung kalinya diadakan bermula pada 22 sehingga 25 Ogos ini mulai pukul 8 hingga 10 malam.

GAMBAR:DBKU