Sarawak dipilih lokasi pelancaran satelit Malaysia

KUCHING: Sarawak dipilih sebagai lokasi pelancaran satelit Malaysia, sekali gus bakal memacu penglibatan aktif negeri dan negara ini dalam teknologi aeroangkasa.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemilihan itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara Ke-45 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya baru-baru ini.

Menurutnya, penglibatan dalam teknologi satelit merupakan langkah penting untuk kemajuan dan pembangunan teknologi negara.

“Buat pertama kalinya saya mengumumkan berita baik selepas menghadiri mesyuarat tersebut minggu lalu.

“Dalam pertemuan itu, lokasi di Sarawak dipersetujui kerana mempunyai kelebihan dari segi kedudukan yang strategik di tengah-tengah khatulistiwa.
“Ini bermakna Sarawak akan melancarkan satelit yang merupakan langkah penting untuk kemajuan dan pembangunan teknologi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Makan Malam Gala sempena Ulang Tahun Sarawak Skills Ke-30, di sebuah hotel di sini.

Sebagai persediaan katanya, beliau telah mengarahkan Pengerusi Majlis Pengurusan Sarawak Skills, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain menetapkan Fakulti Aeroangkasa pertama Sarawak di Kolej Universiti iCATS dengan memfokuskan subjek-subjek penting berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, langkah ini diambil untuk memastikan generasi muda memiliki kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam bidang-bidang yang semakin kritikal.
Beliau turut menyempurnakan pelancaran simbolik ‘coffee table book’ yang diterbitkan Sarawak Skills sebagai sebahagian daripada sambutan 30 tahun penubuhan institusi tersebut.

Hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis.