KUCHING: Kontraktor dan pihak yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan dan penggalian di kawasan yang mempunyai kabel elektrik bawah tanah
dinasihat supaya memberitahu Sarawak Energy Berhad (SEB) terlebih dahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif SESCO, Lau Kim Swee berkata, langkah itu bagi membolehkan pihaknya
menghantar pasukan ke tapak projek untuk mengenal pasti lokasi dan laluan kabel bawah tanah, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, sebanyak 48 kes kerosakan kabel bawah tanah direkodkan dan kebanyakannya berpunca daripada kerja pengorekan bagi projek infrastruktur utama.
“Akibat kerosakan itu, ia menjejaskan bekalan elektrik serta
mendatangkan risiko keselamatan kepada pekerja dan kakitangan operasi Sarawak Energy,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Malam Apresiasi Media Sarawak Energy di sini, malam ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sarawak Energy, Dato Ir James Ung, para media serta pengurusan tertinggi Sarawak Energy.
Menurutnya, program “Call Before You Dig”, merupakan inisiatif keselamatan Sarawak Energy agar kontraktor membuat semakan awal sebelum memulakan kerja-kerja tersebut.
“Melalui program tersebut, kontraktor perlu menghubungi kami terlebih dahulu. Ini bagi membolehkan sebuah pasukan dihantar ke tapak projek,” katanya.
