Inisiatif DUN Satok agih sumbangan keperluan pelajar Kembali Ke Sekolah

KUCHING: Program Kembali Ke Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Tahun 2026 diteruskan dengan penyerahan kepada 105 murid sekolah rendah menerusi program berkenaan di sini, hari ini.

Bilangan tersebut adalah sebahagian daripada 562 pelajar dari enam sekolah di kawasan DUN Satok menerima sumbangan barangan keperluan pelajar sekolah.

Penerima terdiri daripada SK Merpati Jepang, SK Combined, Kampung Segedup, Kampung Sungai Maong, SJK Chung Hua No.4, Kuching dan SK Rakyat.

Penyampaian sumbangan dilakukan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki.

Beliau turut menyampaikan sumbangan sama kepada pelajar di Kampung Segedup.

Program yang bermula 2014 itu dianjurkan dengan kerjasama Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok, Pusat Khidmat N8 Satok berlangsung di pekarangan Masjid Darul Aqsa, Kampung Segedup, di sini hari ini.

Ibrahim Baki dalam ucapannya berkata, program tahunan itu bertujuan memberi semangat dan motivasi kepada murid tahun satu hingga tahun enam dan menghargai kepentingan pendidikan.

Selain itu, program tersebut dapat membantu meringankan beban keluarga melalui pemberian beg dan peralatan persekolahan.

“Ini bukan sahaja memfokus kecemerlangan akademik, malah pembentukan sahsiah dan akhlak mulia dalam kalangan murid. Sokongan berterusan daripada ibu bapa juga faktor penting dalam kejayaan anak-anak,” katanya kepada media selepas program tersebut.

Program tersebut selaras dasar Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan terhadap pembangunan pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu dan berkemahiran, khususnya bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Kelab KSK Satok, Irwan Zulkarnain Dato Mohamad Hasbie, Ketua Ranting Parti PBB Segedup, Kaunselor Samsudin Saperi serta ahli-ahli kelab dan ibu bapa.