Samarahan bakal miliki taman berteraskan alam semula jadi

SAMARAHAN: Kerajaan Sarawak merancang untuk menjadikan lebih 1,000 ekar tanah berhampiran Samarahan Boulevard sebagai kawasan hijau kekal.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kawasan tersebut akan dibangunkan menjadi sebuah taman bandar yang luas dan berteraskan alam semula jadi.

“Projek ini adalah hasil kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak yang telah mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk tujuan penanaman pokok dan pembangunan ruang rekreasi.

“Taman Samarahan ini akan menawarkan kemudahan seperti laluan joging, kawasan bersantai serta landskap yang dibiarkan dalam keadaan semula jadi bagi mengekalkan keindahan dan ekosistem setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Samarahan Boulevard IRSDA di Samarahan, hari ini.

Premier turut menjelaskan bahawa taman ini adalah sebahagian daripada visi jangka panjang pembangunan bandar Samarahan.

“Selain memberi ruang riadah, kawasan hijau ini juga dirancang untuk menjadi simbol bandar yang mampu menandingi taman-taman utama di peringkat antarabangsa.

“Untuk memastikan statusnya kekal, kawasan tersebut tidak boleh diubah suai menjadi pembangunan lain tanpa persetujuan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta melindungi daripada penukaran guna tanah,” katanya.