Pekan Trusan bakal muncul sebagai penempatan moden

LAWAS: Kerajaan Sarawak merancang pembangunan semula Pekan Trusan bagi menjadikannya sebuah penempatan moden yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah jangka panjang bagi memperkasa pembangunan bandar kecil di utara Sarawak.

“Perancangan pembangunan memberi keutamaan kepada penyediaan kediaman berkualiti, peningkatan kemudahan asas serta pewujudan peluang ekonomi baharu kepada komuniti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Jom Singgah Makan Durian di Dewan Pekan Trusan, hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan projek itu disokong peruntukan kerajaan negeri dan dilaksanakan secara berfasa dengan penglibatan agensi berkaitan serta sektor swasta.

Katanya, penduduk sedia ada akan diberi keutamaan dalam penawaran perumahan baharu bagi memastikan pembangunan yang inklusif, dengan sebahagian unit kini berada pada peringkat awal pembinaan.

Tambah beliau, fasa permulaan melibatkan puluhan lot kediaman dan jumlah tersebut boleh ditambah berdasarkan permintaan, selain penyediaan kemudahan awam untuk kegunaan masyarakat.