Samarahan Boulevard simbol baharu pembangunan bandar moden

SAMARAHAN: Samarahan Boulevard dirancang sebagai ruang awam utama yang bakal menjadi simbol baharu pembangunan bandar serta lokasi untuk acara besar di kawasan itu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek ini dijangka mengubah wajah Samarahan menjadi lebih moden dan teratur.

“Ia adalah sebahagian daripada visi panjang untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyokong pertumbuhan bandar yang lebih sistematik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Samarahan Boulevard Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Abdul Karim, Kota Samarahan dilihat sudah berkembang pesat sejak beberapa dekad lalu, terutamanya selepas beberapa institusi pendidikan tinggi dibangunkan di sini, menjadikannya pusat pembelajaran dan penempatan utama.

Dengan pertambahan penduduk dan perkembangan kawasan sekitar Kuching, keperluan kepada ruang riadah dan pusat perhimpunan semakin mendesak, katanya.

“Boulevard ini dirancang untuk menjadi lokasi utama bagi aktiviti santai, perhimpunan awam dan acara besar, menggantikan lokasi lama yang sering mengalami kesesakan.

“Projek itu juga akan melengkapi pembangunan infrastruktur lain di Samarahan, termasuk sistem pengangkutan dan projek mega yang sedang dirancang, bagi menyokong pertumbuhan bandar dalam jangka panjang,” tambah beliau.