DALAT: Kenaikan elaun bulanan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) membuktikan penghargaan Kerajaan Sarawak terhadap peranan pemimpin di peringkat akar umbi.
Elaun sebanyak RM400 itu berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kenaikan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak terhadap kebajikan serta profesionalisme kepimpinan masyarakat.
“Seramai 7,700 pemimpin masyarakat termasuk Temenggong, Pemanca, Penghulu dan Ketua Kaum di seluruh Sarawak terlibat dalam pelaksanaan kenaikan elaun tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam Majlis Amanat YB Dato Sri Fatimah Abdullah Bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) DUN N56 Dalat di Kompleks Kebajikan Dalat, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat menjelaskan, kenaikan elaun berkenaan perlu disusuli dengan peningkatan tahap integriti, akauntabiliti dan prestasi dalam kalangan KMKK.
Ini bagi memastikan dasar serta inisiatif kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat, katanya.
Menyentuh mengenai pembangunan kebajikan di kawasan DUN N56 Dalat, Fatimah berkata, Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (MRP–PPRMS) memberi manfaat kepada 505 penerima membabitkan peruntukan berjumlah RM6.981 juta sejak 2018.
