Peruntukan RM150 juta dilulus bina pusat astronomi di Sarawak

KUCHING: Jabatan Mufti Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS akan bekerjasama bagi membangunkan sebuah pusat astronomi di negeri ini.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sebanyak RM150 juta diluluskan untuk membangunkan pusat berkenaan dalam usaha melahirkan tenaga pakar dalam bidang aeroangkasa.

“Kabinet Negeri pagi tadi bersetuju memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi penubuhan sebuah pusat astronomi di Sarawak.

“Pusat ini bukan sahaja bertujuan memupuk minat terhadap ilmu falak, tetapi menjadi asas kepada pembangunan kepakaran dalam bidang aeroangkasa,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Solat Hajat Agensi Islam di Kompleks Islam Sarawak malam ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan pembangunan ilmu astronomi dan aeroangkasa sebagai strategi melahirkan generasi Muslim berilmu tinggi, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran dunia masa hadapan.

Tegasnya, ilmu astronomi bukan sekadar bidang sains semata-mata, malah mempunyai hubungan rapat dengan kefahaman terhadap peristiwa agung Isra’ dan Mikraj, sekali gus membuka ruang kepada umat Islam untuk mendalami kebesaran ciptaan Allah SWT melalui pendekatan teknologi moden.

“Oleh itu, Sarawak mesti bersedia melahirkan anak-anak tempatan, khususnya umat Islam yang mahir dalam bidang sains, matematik tambahan, fizik, kimia serta kejuruteraan,” katanya.

Bagi melahirkan pelajar seimbang duniawi dan ukhrawi, beliau mengumumkan kerajaan negeri akan memperkukuh pembangunan sekolah antarabangsa di bawah Yayasan Sarawak yang menggabungkan silibus Cambridge dengan pengajian Islam, termasuk hafazan al-Quran dan pemahaman tamadun manusia.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan- Timbalan Menteri, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha serta Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Sri Saferi Ali.