SADA guna pendekatan agresif lancar projek pembangunan

KUCHING: Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) kini beralih ke fasa agresif bagi memastikan semua projek pembangunan di bawah seliaannya berjalan lancar tanpa terperangkap dalam kemelut birokrasi pertapakan dan isu pengambilan tanah yang rumit.

​Pengerusi SADA, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, menegaskan bahawa sinergi antara agensi tersebut dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak merupakan langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus serta melancarkan penyelarasan antara agensi pelaksana.

​Langkah drastik ini diambil susulan mandat Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA 2025 yang bertujuan menghapuskan segala kekangan teknikal di lapangan yang sering menjadi penghalang utama kepada pembangunan fizikal di Bahagian Sri Aman.

​Menurut Rohani, isu pertapakan merupakan cabaran universal yang memerlukan pendekatan menyeluruh dan perkongsian maklumat tepat antara agensi bagi memotong segala kerenah birokrasi yang tidak perlu.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada Taklimat Prosedur Permohonan Pertapakan Projek SADA di Bilik Mesyuarat Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

​Rohani turut memberi amaran bahawa dokumentasi yang lemah atau ketidakjelasan prosedur merupakan risiko besar yang boleh mengakibatkan kelewatan projek, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti agensi.

​Melalui platform perbincangan terbuka yang disediakan, semua agensi pelaksana kini diberi ruang untuk menyelesaikan kekeliruan teknikal secara terus bagi membina proses kerja yang lebih cekap, pantas, dan tersusun.

​”Matlamat kita jelas, projek mesti berjalan tanpa gangguan isu berulang kerana kita mahu penyampaian perkhidmatan kepada komuniti Sri Aman dipercepatkan tanpa sebarang kompromi,” ujarnya.

​Rohani turut menyasarkan fasa yang lebih produktif buat SADA dengan meletakkan kerjasama erat antara agensi sebagai kunci utama dalam merealisasikan infrastruktur sistematik demi kesejahteraan rakyat Sarawak.