Kursi Datuk Amar Juma’ani platform penyelidikan kepimpinan wanita

KUCHING: Kursi Datuk Amar Juma’ani akan menjadi platform khusus bagi menjalankan penyelidikan mendalam mengenai isu-isu berkaitan kepimpinan wanita.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kursi itu adalah hasil daripada penjenamaan semula Kursi Kepimpinan Wanita Sarawak (SWLC).

“Kita mendapati penting untuk menjenamakan semula kursi tersebut dalam usaha memperkasakan golongan wanita dari segi kemahiran dan kepimpinan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di Wisma Wanita di sini hari ini.

Fatimah berkata, ia juga melibatkan pembangunan dan pelaksanaan program-program bersasar yang bertujuan meningkatkan keupayaan, kompetensi serta penglibatan wanita Sarawak dalam pelbagai sektor.

Peranan Kursi Datuk Amar Juma’ani untuk melaksanakan program yang melibatkan latihan serta penglibatan komuniti, yang dijalankan melalui pendekatan kolaboratif bersama rakan strategik, katanya.

Beliau yang juga Pengerusi MWKS memaklumkan, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM5 juta secara ‘one-off’ untuk tujuan kursi berkenaan.

Mengenai tajaan pengajian tiga pelajar wanita bagi mengikuti program Sarjana Sastera dalam Pembangunan Kepimpinan di ‘Asian Women Leadership University College (AWLUC)’, Fatimah memberitahu kohort pertama tajaan berkenaan akan memulakan pengajian mereka pada Febuari tahun ini.

Untuk pengambilan tahun 2027, beliau memberitahu ia telah dibuka di laman sesawang Jabatan Wanita dan keluarga Sarawak (JWKS) dan wanita Sarawak boleh menghantar permohonan beserta ‘resume’ kepada JWKS untuk dinilaikan.

Kohort kedua dijadual bermula pada Februari 2027, katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Timbalan Pengerusi MWKS Datuk Rosey Yunus, Setiausaha Tetap KPWK Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Ex-Officio MWKS Riziandy Nawawi dan Setiausaha MWKS merangkap Pengarah JWKS Salmah Jobeli.