KUCHING: Orang ramai dinasihat agar berhati-hati terhadap penyebaran maklumat tidak sahih yang melibatkan situasi di negara-negara Teluk.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ini termasuk rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
“Rakyat Malaysia yang berada di luar negara diminta sentiasa mengikuti maklumat rasmi yang disalurkan oleh pihak berkuasa dan kedutaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra (KJM) DBKU yang mensasarkan komuniti di bawah KJM Pantai Damai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman.
Di majlis itu, sebanyak 1,100 pek bubur lambuk, 750 bubur pedas dan 500 biji nanas MD2 diagih kepada warga sekitar Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Ulu dan Sourabaya Hilir.
Penganjuran program turut dijayakan bersama rakan-rakan kolaborasi DBKU dan KJM Pantai Damai yang lain antaranya Pusat Khidmat N4 Pantai Damai, Lembaga Amanah Kebajikan Negeri Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Sarawak, Tabung Bailtulmal Negeri Sarawak, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Negeri Sarawak, Ahmad Tamar Sdn Bhd, Nestle Wilayah Sarawak, Mydin Samariang Hypermarket, Barkath Co-ro Manufacturing Sdn Bhd, Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad dan Koperasi Keluarga Sumiran Kuching Berhad.
