Dataran Kapit akan dibina sebagai simbol perpaduan Sarawak

KAPIT: Kerajaan Sarawak akan membina Dataran Kapit berdekatan Kubu Sylvia, lokasi perjanjian damai masyarakat Iban dan Orang Ulu pada 1924.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan dataran lapang hijau dan moden itu akan dibina sebagai simbol perpaduan bukan hanya di Kapit malah Sarawak.

“Saya akan berbincang dengan Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan wakil rakyat tempatan yang lain berhubung pembinaan dataran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Perjanjian Damai Kapit di Kubu Sylvia, hari ini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Sementara itu, Abang Johari menjelaskan, Kerajaan Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Indonesia bagi membina empangan hidroelektrik di Kalimantan Timur.

Katanya, Sarawak telah bersama dengan Kerajaan Indonesia mengeluarkan tenaga daripada hidro.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Raden Sigit Witjaksono, Penasihat Utama Jawatankuasa Pengelola Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.