Sarawak bakal susun semula struktur ekonomi, guna kaedah profesional, terkini

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan rasa kagum atas semangat kesetiaan dan kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama ini.

Beliau berkata, sejak zaman kepimpinan Allahyarham Tun Pehin Sri Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan sekarang, semangat kesetiaan SUPP itu tidak pernah berubah.

“Saya sifatkan SUPP dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) macam adik-beradik dan tidak pernah berbelah sejak dari dahulu,” katanya pada Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan SUPP Ke-26 di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan, semangat kesetiaan dan bersedia bekerja dalam satu pasukan ditunjukkan oleh SUPP itu membolehkan keadaan di Sarawak stabil dan rakyat hidup dalam suasana harmoni.

Beliau berharap SUPP akan terus melatih pemimpin pelapis muda untuk mempimpin SUPP pada masa hadapan bagi mengelak parti terbabit berhadapan dengan perbalahan.

Peralihan dalam pucuk kepimpinan Parti PBB selepas Tun Pehin Sri Taib mengundur diri, katanya, berjalan lancar disebabkan barisan peimpinnya patuh kepada arahan dan menghormati keputusan parti.

“Kita punya kawan tetap kawan dan selepas saya, saya berharap SUPP tetap bersama kita untuk membawa Sarawak terus maju ke hadapan.

“Politik di Sarawak mesti stabil dan rakyatnya hidup bersatupadu jika Kerajaan GPS mahu membangunkan negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dan mahu membangunkan rakyat dalam era baharu,” katanya.

Abang Johari juga berkata, Kerajaan Sarawak akan menyusunkan semula struktur ekonominya sejajar dengan usaha membangunkan negeri ini dan rakyatnya mengikut era baharu.

“Perkara ini akan saya umumkan kemudian supaya rakyat peka dengan perkembangannya,” tegas beliau.