Perjanjian Perdamaian Kapit dikenang sebagai pintu gerbang perpaduan

KAPIT: Perjanjian Perdamaian Kapit yang genap 100 tahun ditandatangani akan sentiasa dikenang sebagai pintu gerbang perpaduan di Sarawak.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana perjanjian tersebut mengakhiri konflik berdarah dan pertelagahan antara kaum membabitkan Iban, Kayan dan Kenyah di pedalaman Sarawak.

Katanya, perjanjian bersejarah itu ditandatangani 16 November 1924 di perkarangan Kubu Kapit atau kini dikenali sebagai Kubu Sylvia dengan turut disaksikan oleh Rajah Brooke dan pemimpin etnik.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Ulang tahun Ke-100 Perjanjian Damai Kapit di Kubu Sylvia, di sini.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Alexander berkata, perjanjian itu menjadi titik awal perdamaian di Sarawak walaupun bukan semua konflik dapat dihentikan serta-merta namun banyak pertikaian diredakan dan perlahan-lahan menghapuskan pelbagai dendam.

Katanya, persefahaman dibentuk membawa kepada suasana lebih aman, sekali gus membolehkan pentadbiran berlangsung dengan lebih teratur.