KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kota Sentosa mengukuhkan lagi barisan kepimpinannya apabila Dato Hanifah Hajar Taib dipilih sebagai ketua cawangan itu pada Mesyuarat Agung Cawangan N12 Kota Sentosa di sini.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti PBB, Dato Fazzruddin Abdul Rahman berkata, pelantikan Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Mukah itu mencerminkan keyakinan parti terhadap kepemimpinan beliau.
“Ahli Parlimen (PBB) boleh menjadi ketua cawangan parti itu bukan hanya di tempat mereka tetapi juga di tempat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bukan dari parti terbabit.
“Jadi, Parti PBB Cawangan Kota Sentosa melihat Datuk Hanifah Hajar Taib dapat memberi khidmat kepada cawangan Kota Sentosa dan sebulat suara mencadangkan dan memohon beliau untuk berkhidmat di Kota Sentosa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas bersama-sama Setiausaha Politik Abang Abdul Aziz Abang Abdul Drauf menyelaras Mesyuarat Agung Parti PBB Cawangan Kota Sentosa di Serapi Corner, Batu 7 di sini.
Beliau juga yakin jentera parti akan menjadi semakin mantap dan akan membantu calon pilihan raya dari rakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di cawangan terbabit.
Pelantikan Hanifah itu sekali gus secara rasmi menggantikan Mahmud Dato Sri Ibrahim.
Untuk rekod, Mahmud telah menerajui Parti PBB Cawangan Kota Sentosa selama hampir 19 tahun.
