Dua kampung dapat perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat

LUNDU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) di Kampung Pueh Sematan dan Kampung Rayu Iban Lundu.

Langkah itu bagi memastikan keperluan sosial setiap kumpulan sasar terutama di luar bandar dapat diuruskan secara holistik.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha menyahut seruan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menekankan keperluan perkhidmatan sosial inklusif.

”Perkhidmatan itu ditempat di Kampung Pueh Sematan dan Kampung Rayu Iban Lundu untuk memberikan sokongan langsung kepada masyarakat.

”Perkhidmatan ditawar termasuk kaunseling, rujukan perkhidmatan sosial, dan sokongan tambahan bagi kumpulan rentan,” katanya ketika berucap semasa Program Jelajah Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) ’Kamek Nengar, Kamek Nulong’ di Kampung Rayu Iban, di sini, semalam.

Nancy diwakili Setiausaha Politiknya, Mohd Kamaluddin Mohd Effendie. Hadir sama, Pegawai Eksekutif YKN, Nordiana Harun serta pasukan sukarelawan.

Menurutnya, selain perkhidmatan PSSS, program itu turut menyaksikan serahan bakul makanan kepada 528 penerima dari lapan kampung di sekitar Lundu, termasuk Kampung Rayu Iban, Kampung Pueh dan enam kampung lain.