KUCHING: Media memainkan peranan penting sepanjang 50 tahun penubuhan Cahya Mata untuk menjadi syarikat multinasional yang dinamik.
Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata, sepanjang tempoh itu juga, media berperanan dalam membentuk persepsi serta naratif terhadap usaha yang dilakukan syarikat tersebut untuk masyarakat secara keseluruhan.
“Dalam pelbagai cara, media mencerminkan kepelbagaian ini bagi menghimpun pelbagai cerita yang membina persefahaman dan perhubungan dalam kalangan masyarakat.
“Persamaan antara media dan Cahya Mata ialah kita sama-sama menjadi agen perubahan dan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Cahya Mata Bersama Media di salah sebuah hotel di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, Sulaiman turut menyampaikan buku bertajuk “Beyond The Finish Line” sempena penubuhan 50 Tahun Cahya Mata (1974-2024) kepada pengamal media. Majlis bertemakan “Meraikan Kepelbagaian” itu turut dihadiri pengurusan kanan Cahya Mata.
Tambahnya, media dan Cahya Mata merupakan ‘jambatan’ yang menghubungkan masyarakat, idea dan juga peluang.
“Kita (Cahya Mata) dan media beroperasi dengen penuh komitmen dan menekankan integriti, ketelusan dan berkhidmat untuk kebaikan yang lebih luas,” ujarnya.
Sulaiman turut menyingkap perjalanan syarikat konglomerat itu yang ditubuh pada 1974 sebagai pembuat simen di Sarawak untuk menjadi sebuah syarikat multinasional yang dinamik.
“Ia merupakan perkara kekal berterusan menunjukkan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan inovasi,” katanya.
Sulaiman menambahkata, pertumbuhan dan kejayaan ini tidak mungkin berlaku tanpa peranan dan sumbangan media dalam menyebarluaskan perkhidmatan Cahya Mata kepada masyarakat.
