Teknologi BIM bantu bina bangunan lebih mampan, berkualiti

KUCHING: Penggunaan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dalam sektor pembinaan diperlukan bagi mendirikan bangunan lebih mampan dengan bahan berkualiti.

Sambil memberikan sokongan terhadap penggunaan teknologi tersebut, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, BIM berasaskan teknologi 3D membolehkan simulasi pembinaan bangunan dengan data terperinci.

Katanya, BIM memiliki kelebihan dalam merancang rumah yang menjimatkan tenaga melalui penempatan bahan dan reka bentuk teliti.

“Ia sangat teliti dengan pengukuran, jenis bahan binaan, faktor bebanan dan sebagainya.

“Semua ini disimpan dalam satu platform data, menjadikan bangunan lebih mampan dengan bahan yang berkualiti,” katanya pada Majlis Makan Malam JKR Sarawak 2024 di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan penggunaan bahan inovatif dalam pembinaan, termasuk dinding yang berfungsi sebagai panel solar.

“Minggu lalu, ada cadangan untuk membina bangunan kerajaan. Saya mencadangkan mereka mensimulasikan bahan, termasuk dinding menggunakan panel solar ringan kelihatan seperti dinding biasa.

“Ini boleh menjimatkan tenaga dan menghasilkan tenaga sendiri,” ujar beliau lagi.

Dalam majlis sama, beliau menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bertujuan memperkukuhkan kolaborasi dalam pembangunan digital di negeri ini.

Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapan aluannya berkata, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk menaikkan had nilai projek yang boleh dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak kepada jumlah yang lebih tinggi.

Menurutnya, JKR Sarawak perlu membuktikan keupayaannya melaksanakan projek bernilai di bawah RM50 juta dengan cekap dan berkesan sebelum memohon kenaikan had tersebut.

“Perdana Menteri kita meluluskan untuk kita melaksanakan projek bernilai bawah RM50 juta.

“Sebab itu sangat penting untuk kita menyiapkan projek bernilai RM50 juta ini tepat pada masanya supaya beliau dapat memperjuangkan pelaksanaan semua baki projek lain yang bernilai jauh lebih tinggi daripada RM50 juta untuk Sarawak,” katanya.

Hadir sama, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir. Aidel Lariwoo; Setiausaha Tetap (MIPD), Datu Chiew Chee Yau; Pengarah JKR Sarawak, Ir. Dr. Cassidy Morris.