DALAT: Kerajaan memperkukuhkan pembangunan pendidikan di Sarawak menerusi penyiapan dua projek sekolah baharu bernilai RM37.74 juta di Dalat dan Daro.
Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada ribuan pelajar menerusi penyediaan kemudahan pembelajaran moden, selamat dan lebih kondusif.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kedua-dua projek itu melibatkan pembinaan bangunan gantian 18 bilik darjah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalat dan pembinaan bangunan baharu 12 bilik darjah di SMK Semop, Daro.
Beliau berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dalam memperkukuhkan pembangunan infrastruktur pendidikan negara secara menyeluruh.
“Usaha ini bukan sahaja menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih moden, selamat dan berkualiti, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang berilmu, berkemahiran serta mampu berdaya saing pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap 2 Dalam 1 di SMK Dalat, hari ini.
Menurutnya, projek SMK Dalat merangkumi pembinaan blok akademik baharu yang menempatkan 18 bilik darjah serta pelbagai kemudahan pendidikan dan sokongan termasuk bengkel, makmal, bilik pengurusan sukan dan pendidikan serta Bilik Operasi Skim Pinjaman Buku Teks Sekolah (BOSS).
“Selain itu, sekolah berkenaan turut dilengkapi kemudahan tambahan seperti kantin, surau, pondok pengawal, sistem utiliti dan kumbahan, tempat letak kenderaan serta laluan berbumbung bagi menjamin keselesaan dan keselamatan warga sekolah.
“Bagi SMK Semop pula, projek itu melibatkan pembinaan 12 bilik darjah baharu lengkap dengan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) termasuk tandas khas, tempat letak kenderaan dan laluan ramp bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif.
“Kemudahan lain yang disediakan di sekolah itu termasuk sistem bekalan air dan pembetungan yang sistematik, pemasangan elektrikal dan mekanikal, rumah pam serta laluan berbumbung,” ujarnya.
Nanta berkata, projek SMK Dalat dianugerahkan kepada Welfield Services Sdn Bhd pada 22 November 2022 dengan nilai kontrak RM27.19 juta, manakala projek SMK Semop dianugerahkan kepada KSB Global Sdn Bhd pada 26 Disember 2023 dengan nilai kontrak RM10.55 juta.
“Kejayaan menyiapkan kedua-dua projek itu bukan sahaja memperkukuh kemudahan fizikal sekolah, malah diharap dapat menyuntik semangat baharu kepada guru dan pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan,” ujarnya lagi.
Beliau turut memuji pasukan projek SMK Semop yang berjaya menyiapkan projek berkenaan 164 hari lebih awal daripada jadual asal tanpa memerlukan lanjutan masa (EOT).
“Pencapaian ini mencerminkan kecekapan pelaksanaan dan profesionalisme yang tinggi serta wajar dijadikan penanda aras dalam pelaksanaan projek pembangunan kerajaan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kontraktor agar melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh integriti, khususnya dalam menangani sebarang kecacatan sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP).
Beliau turut meminta JKR memperkukuh pemantauan pasca penyerahan bagi memastikan semua kemudahan sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat digunakan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ahli Parlimen Tanjong Manis yang juga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Dato Ir. Yusuf Abd Wahab serta tetamu kenamaan lain.
