LAWAS: Projek Jambatan Bandar Lawas kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 97.27 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan serta pertumbuhan ekonomi di kawasan seberang bandar Lawas.
Katanya, beberapa kerja tambahan sedang dilaksanakan bagi memperindah dan menambah baik kemudahan di jambatan tersebut sebelum dibuka sepenuhnya kepada orang ramai.
“Setakat ini, progres projek mencapai 97.27 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan.
“Kita juga melaksanakan beberapa pertambahan bagi mengelokkan lagi jambatan ini supaya memberi manfaat kepada rakyat,” katanya ketika meninjau perkembangan projek tersebut, semalam.
Menurut beliau, jambatan sepanjang 642 meter (m) itu bakal memendekkan masa perjalanan ke bandar Lawas selain mewujudkan hubungan yang lebih baik antara kawasan bandar dengan kawasan seberang seperti Merapok dan laluan ke Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu menambah, projek berkenaan merupakan sebahagian daripada pembangunan rangkaian jalan pesisir utara yang akan melengkapkan hubungan jalan raya di kawasan utara Sarawak.
“Apabila siap nanti, jambatan ini akan memudahkan perancangan pembangunan di kawasan seberang dan menjadi sebahagian daripada usaha untuk membangunkan bandar ini pada masa hadapan,” ujarnya.
Projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) itu melibatkan kos kontrak lebih RM149 juta merangkumi pembinaan jambatan ikonik dengan struktur menara gerbang setinggi 44.3m, sistem kabel gantung serta jaringan jalan utama dan jalan.
Sementara itu jelas Awang Tengah, Kerajaan Sarawak merancang melaksanakan pembangunan semula Pekan Trusan secara berperingkat menerusi Program Pembaharuan Bandar (Urban Renewal Program) bagi mewujudkan sebuah pekan yang lebih moden, teratur dan berdaya maju.
Beliau berkata pelaksanaan projek Northern Coastal Highway (NCH) akan memberi kesan kepada beberapa gerai sedia ada di kawasan berkenaan dan peniaga terlibat akan ditempatkan sementara di tapak yang telah dikenal pasti bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti perniagaan.
Menurut beliau, Majlis Daerah Lawas akan menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan masuk ke kawasan penempatan sementara tersebut bagi memastikan keselesaan peniaga.
