SCaT 2026 berjaya lepasi sasaran 25,000 pengunjung

KUCHING: Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) 2026 berjaya mencatatkan kehadiran seramai 27,698 pengunjung bermula semalam sehingga setakat jam 12 tengah hari ini.

Ini melepasi sasaran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang mensasarkan seramai 25,000 pengunjung ke pameran terbabit tahun ini.

Seramai 14,478 pengunjung dicatatkan pada hari pertama pameran itu semalam manakala seramai 13,220 pengunjung dicatatkan hari ini sehingga jam 12 tengahari.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan (Udara Dan Jalan) merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Amanah Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Datuk Dr Jerip Susil berkata pengunjung yang hadir dari Kuching, Kota Samarahan, Serian, Bau, Lundu dan pelbagai kawasan lain di seluruh Sarawak menunjukkan pameran ini berjaya menarik perhatian ramai.

“Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa SCaT terus berkembang sebagai salah satu platform pembangunan bakat dan
kerjaya paling signifikan di Sarawak sejak diperkenalkan pada 2012,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutupan Pesta SCaT 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Jalan Haji Taha, di sini, hari ini.