KUCHING: Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Yang di-Pertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Fadillah Yusof, mengajak seluruh Armada Pemuda Parti PBB supaya sentiasa menjadi benteng paling hadapan dalam mempertahankan parti dan pucuk kepimpinan, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam rakaman ucapan ringkas yang ditayangkan di paparan skrin sempena Majlis Malam Amal dan Apresiasi Armada Pemuda Parti PBB malam tadi, Fadillah berkata dalam apa jua keadaan, tak kira apa pun cabaran, anak muda yang menjadi nadi perjuangan Parti PBB.
Sebab itu kata beliau, penting untuk seluruh Armada Pemuda untuk sentiasa menjadi benteng paling hadapan dalam mempertahankan PBB dan kepimpinan Premier.
“Keberanian, kelantangan, idea segar dan kerahan keringat Armada Pemuda adalah penggerak kepada kepimpinan parti serta pembangunan Sarawak,” katanya.
Majlis malam tadi disempurnakan Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang menyampaikan ucaptama.
Naib Yang Dipertua Kanan parti itu mengajak seluruh ahli parti untuk terus berdiri teguh berjuang bersama Premier Sarawak sambil melaungkan slogan – agi idup ! agi ngelaban!.
“Ayuh semua, teruslah berjuang dengan jiwa kental. Bangkit demi bangsa, rakyat, dan Sarawak tercinta,” katanya yang mengakhiri ucapan dengan laungan keramat parti – “HIDUP PBB! HIDUP PBB! HIDUP PBB!”.
