Premier perjelaskan kedudukan sah MA63, perlu dihormati

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mempunyai kedudukan yang sah dan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus menjadikannya asas penting pembentukan negara.

Beliau berkata, pindaan terhadap Perkara 1(2) serta penambahan rujukan tepat kepada MA63 dalam Perkara 160 membuktikan bahawa perjanjian itu telah diperincikan dalam kerangka undang-undang tertinggi negara.

“Apabila MA63 sudah tersusun dalam Perlembagaan, sesiapa yang mempertikaikannya sebenarnya menolak semangat Malaysia itu sendiri,” katanya ketika berucap pada Malam Amal dan Apresiasi Armada Pemuda PBB, malam tadi.

Abang Johari turut menjelaskan bahawa penegasan terhadap MA63 tidak wajar ditafsirkan sebagai usaha untuk membawa Sarawak keluar daripada Persekutuan.

“Bukan bermakna kita melakukan MA63 kita nak jadi ‘merdeka’. Tidak. Kita sudah buat keputusan kita adalah sebahagian daripada Malaysia dan lagu kebangsaan kita turut menyebut bahawa kita adalah sebahagian daripada Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap berpegang pada prinsip ‘Utamakan Sarawak’, namun perjuangan tersebut dilakukan dalam konteks kekal sebagai rakan dalam Persekutuan Malaysia.

Hadir sama Timbalan Premier yang juga Timbalan Yang di- Pertua parti, Datuk Amar Douglas Uggah, Menteri Kerja Raya merangkap Setiausaha Agung parti, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah yang juga Ketua Pemuda, Datuk Martin Ben serta pergerakan pemuda dan tetamu kenamaan lain.

Premier kemudian menyampaikan penghargaan khas kepada ahli-ahli pergerakan dan kakitangan Ibu Pejabat Parti PBB.