KUCHING: Festival Gastronomi Nyamai Sarawak 2025 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai ini dijangka menjadi
medium mempromosikan pelancongan mampan serta gaya hidup hijau di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penganjuran festival yang kini memasuki tahun ketiga jelas menunjukkan potensi merangsang sektor pelancongan berasaskan budaya dan kelestarian alam sekitar.
“Selama dua tahun penganjuran, kita menyaksikan pertumbuhan positif. Sekarang tiba masanya untuk mengembangkan lagi pendekatan dengan memperkenalkan lebih banyak elemen baharu daripada pelbagai industri – bukan hanya tertumpu kepada sajian makanan semata-mata.
“Kreativiti mesti diberi keutamaan agar penganjuran festival ini kekal dinamik dan sesuai dengan kehendak semasa,” katanya pada sidang media Festival Nyamai di sini.
Nancy turut menekankan kepentingan penggunaan bahan semula jadi dan lestari seperti buluh dalam memastikan festival ini seiring dengan matlamat pemeliharaan alam sekitar.
Tambah beliau, edisi kali ini dijangka lebih menarik dengan penglibatan pelbagai kumpulan dari latar belakang yang berbeza, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak idea dan inovasi diperkenalkan.
Untuk edisi 2025, festival menyasarkan seramai 20,000 pengunjung, peningkatan berbanding 14,785 orang yang direkodkan tahun lalu.
Acara itu juga bakal menampilkan penyertaan 200 vendor dalam tujuh kategori utama, perluasan lokasi ke Damai Central serta pelbagai aktiviti seperti demonstrasi masakan tradisional, bengkel seni dan kraf tangan, persembahan muzik serta program mesra keluarga.
Festival yang akan berlangsung di lokasi ikonik, Kampung Budaya Sarawak itu, bukan sekadar acara gastronomi, malah turut mengetengahkan warisan seni dan budaya masyarakat tempatan dalam suasana penuh warna-warni dan kepelbagaian.
