SARATOK: Guru pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) perlu menempuh pelbagai cabaran bagi memastikan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ini kerana kanak-kanak ini dari pelbagai latar belakang antaranya masalah pembelajaran, masalah fizikal, mental dan pendengaran.
Katanya, kanak-kanak terbabit juga amat sukar dikawal semasa mereka mula-mula dihantar ke PDK.
“Namun menerusi latihan dan terapi berterusan yang dijalankan, kanak-kanak tersebut berjaya mengikuti sesi pembelajaran dengan baik dan mengembangkan potensi dalam bidang seni dan kraftangan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Ihya Ramadan PDK Saratok di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mohamad Duri mengumumkan geran peruntukan berjumlah RM5,000 bagi membantu melancarkan aktiviti dan program tahunan PDK Saratok.
Majlis dihadiri Pengerusi PDK Saratok, Aznor Suhada Radzaal.
