Graduan agen perubahan

KOTA SAMARAHAN: Kejayaan seseorang graduan bukan hanya diukur daripada pencapaian peribadi tetapi sejauh mana graduan memberi manfaat kepada orang lain.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, graduan harus menjadi agen perubahan yang membawa harapan, kemajuan dan inspirasi walaupun di mana mereka berada.
Kemahiran dan pengalaman yang graduan peroleh bukan sekadar untuk diri sendiri tetapi juga untuk menyumbang kembali kepada keluarga, komuniti, kampung dan negeri, katanya pada majlis penangguhan program Talent Recruitment and Career Exhibition (TRACE) 2025 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalannya, Datuk Francis Harden Hollis.

Roland Sagah berkata, pembangunan modal insan memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing dapat menyokong pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi dan teknologi seperti tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital dan bioteknologi, katanya.

Melalui pendidikan dan latihan yang berkualiti, beliau berkata, bakal graduan terutama anak-anak Sarawak dapat meningkatkan potensi diri sekali gus memenuhi keperluan pasaran kerja semasa dan akan datang.

Individu yang berilmu dan berkemahiran tinggi, katanya, mampu menjadi agen perubahan di komuniti mereka, terutama dalam memajukan sektor seperti pertanian moden, keusahawanan dan teknologi digital.

Menurut beliau, dengan adanya tenaga kerja berkualiti, Sarawak juga akan lebih berdaya saing untuk menarik pelaburan dalam dan luar negara.