Aktiviti menarik sempena Program Outreach Kampung Rayu Iban

LUNDU: Penduduk sekitar Sungai Belian hingga Sungai Rayu menghadiri Program Outreach dan Ziarah sempena Gawai Dayak dan Aidiladha di Rumah Panjang Kampung Rayu Iban, di sini, hari ini.

Antara pengisian utama program dianjurkan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak terbabit ialah penyampaian Kenyalang Gold Card (KGC) kepada warga emas, penyampaian bantuan keperluan asas kepada golongan sasar dan aktiviti ziarah mesra sempena Gawai Dayak dan Aidiladha.

Program melibatkan penyertaan 11 agensi kerajaan antaranya Kementerian Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC), Jabatan Perpaduan dan lain-lain.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah merasmikan program terbabit dan menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, Setiausaha Tetap KPWK Sarawak, Datu Felicia Tan Ya Hua dan Tuai Rumah Kampung Rayu Iban, Chaya Langkop.