KUCHING: Kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME) Ke-43 menunjukkan komitmen tinggi negara dalam memastikan keselamatan tenaga serantau.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan di sini hari ini berkata, selain itu ia menggalakkan inovasi teknologi dan memajukan penyelesaian tenaga mampan.
Mesyuarat itu bertujuan memperkukuh perkongsian strategik, pengajaran dasar dan membangun strategi yang praktikal demi merealisasikan aspirasi bersama ASEAN, kata PETRA selepas berjaya menganjurkan enam mesyuarat tenaga peringkat tertinggi yang berakhir di Hotel Sheraton di sini hari ini.
Aspirasi bersama ASEAN adalah ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan.
Mesyuarat itu menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam memperkukuh kerjasama tenaga serantau di bawah kepemimpinan Malaysia selaku Pengerusi SOME Ke-43.
Mesyuarat itu menghimpunkan wakil daripada Negara-Negara Anggota ASEAN, Rakan Dialog dan Organisasi Antarabangsa termasuk Australia, China, Jepun, Rusia, Amerika Syarikat, Bank Pembangunan Asia (ADB), Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) bagi membincangkan keutamaan tenaga serantau selari dengan Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC), Fasa II (2021–2025).
