MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang berusaha menghubungkan semua kawasan luar bandar dengan jalan raya menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas percaya ini boleh direalisasikan melalui pembangunan projek infrastruktur oleh sembilan agensi pembangunan wilayah di seluruh negeri.
Tegasnya, adalah penting untuk semua agensi pembangunan wilayah dapat membelanjakan peruntukan masing-masing berjumlah RM1.5 bilion untuk tujuan itu.
“Ia menjadi isu jika anda tidak dapat berbuat demikian. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjangkakan peruntukan yang diberikan dapat digunakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan makmal Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) mengenai cadangan projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 di sini, hari ini.
Mengenai program pembangunan ekonomi HDA, Uggah berkata kawasan seperti Bario mempunyai potensi untuk aktiviti pertanian termasuk penanaman kopi dan markisa, kraftangan dan penternakan kerbau.
