KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-Ficord) giat melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import beras.
Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia selaras dengan usaha meningkatkan tahap sara diri makanan negeri ini.
Katanya, Sarawak kini hanya mencatatkan 32 peratus tahap sara diri beras (SSL), manakala selebihnya diimport dari negara lain seperti Vietnam dan India.
Katanya, kebergantungan tinggi ini dilihat sebagai risiko besar terhadap keselamatan makanan sekiranya berlaku sekatan eksport oleh negara pembekal.
“Kalau negara-negara ini kurangkan eksport atau tidak dapat eksport, kita akan ada masalah.
“Sebab itu serius mengurangkan kebergantungan kepada import makanan,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Apresiasi Jabatan Pertanian Sarawak di Kuching, hari ini.
Justeru, antara langkah penting yang sedang dilaksanakan termasuk mengenal pasti dan mewartakan kawasan sesuai untuk tanaman padi di Limbang, Lawas dan beberapa lokasi lain.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dalam sektor pertanian menerusi penubuhan Universiti Putra Malaysia (UPM) Cawangan Sarawak.
Katanya, UPM Sarawak yang akan ditubuhkan kelak dijangka menjadi pusat pembangunan modal insan dan inovasi pertanian di negeri ini.
