SEMATAN: Guru muda memainkan peranan sebagai agen perubahan kepada masyarakat di luar bandar terutama belia.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, lebih 12,000 guru muda di Sarawak berusia bawah 40 tahun berpotensi membawa perubahan di luar bandar.
Namun katanya, mereka perlu memanfaatkan pendekatan pendidikan digital yang lebih kreatif, termasuk buku teks interaktif dalam bentuk aplikasi atau permainan bagi menarik minat generasi kini.
Beliau berkata demikian semasa Jelajah ‘Dual Language Programme’ (DLP) dan Ceramah Kecemerlangan Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLP) Peringkat Zon Talang-Talang, di sini, hari ini.
Menyentuh UP-DLP yang akan bermula pada 15 dan 16 Oktober ini, beliau menjelaskan ia bukan bertujuan membandingkan gred A hingga F, tetapi sebagai ukuran penguasaan purata murid serta prestasi sekolah untuk mengenal pasti sekolah yang memerlukan tumpuan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran program tersebut menjadi wadah memperkukuh kecemerlangan murid dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.
Katanya, penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu amat penting untuk murid menguasai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain meningkatkan keyakinan diri, pemikiran kritis dan kemahiran penyelesaian masalah.
