Hormati, hayati tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan

SIBU: Rakyat negara ini harus menghormati dan memahami pengertian tarikh 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan dan 16 September Hari Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tarikh-tarikh tersebut tidak harus dipolemikkan tetapi apa yang lebih penting ialah tarikh-tarikh tersebut dihormati dan difahami pengertiannya oleh . rakyat negara ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta dif-dif kenamaan lain.

Abang Johari berkata, ia supaya rakyat negara ini dapat memberi tumpuan kepada usaha pembinaan dan pembangunan negara serta terus bergerak ke hadapan dan tidak dikongkong sentimen tersebut.

Menurut beliau, tarikh 31 Ogos mungkin membawa pengertian yang berbeza antara rakyat di Semenanjung, Sarawak dan Sabah.

“Namun, pengertian yang berlainan ini tidak harus menjadi halangan kepada rakyat antara ketiga-tiga wilayah ini untuk saling menghormati dalam usaha bersama untuk membina Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata, sebagai rakyat Malaysia rakyat Sarawak dan Sabah menghormati tarikh ini sebagai tarikh yang begitu penting untuk rakyat di Semenanjung.

“Sama seperti menghormati tarikh 16 September yang amat penting kepada bukan sahaja kepada rakyat di Sabah dan Sarawak tetapi dan juga kepada negara keseluruhannya,”katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akur dengan pandangan yang berbeza ini mengenai tarikh 31 Ogos dan 16 September.

Katanya, Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju supaya 31 Ogos tidak lagi dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan tetapi dikenali sebagai Hari Kebangsaan sejak 2015.