NIAH: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menganjurkan program khidmat komuniti berimpak tinggi bertema “Co-guardians of Niah National Park through Citizen Science” di Taman Negara Niah, di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan UNIMAS, program itu dilaksanakan Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) UNIMAS dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation (SFC) sempena ulang tahun pertama pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
“Sambutan masyarakat amat memberangsangkan dengan penyertaan 133 peserta,”menurut UNIMAS.
Mereka terdiri dari wakil-wakil agensi dan jabatan kerajaan, wakil-wakil komuniti seperti Tuai Rumah, Penghulu dan Kapitan, serta guru dan pelajar sekolah.
Program ini mengetengahkan peranan aktif komuniti tempatan dalam pemeliharaan alam sekitar melalui pendekatan sains rakyat (citizen science).
“Turut diadakan ialah aktiviti pendidikan yang melibatkan pelajar dari empat sekolah di sekitar Taman Negara Niah,” tambah UNIMAS.
Sebanyak empat objektif utama program iaitu memberi pendedahan kepada masyarakat tentang prinsip ekologi serta faedah kepelbagaian biologi kepada manusia dan menyemai rasa cinta dan penghayatan terhadap alam sekitar.
Selain itu, memberi kefahaman tentang pernyataan peruntukan kuasa dan undang-undang berkaitan pemeliharaan biodiversiti serta tanggungjawab agensi terlibat dan membuka ruang kepada komuniti untuk menikmati persekitaran lebih ceria dan selesa, khususnya memastikan sungai di kawasan kampung kekal bersih dan bebas pencemaran.
