PERKIBAR dijemput sertai Regata Lingga

BANDAR SERI BEGAWAN: Jawatankuasa Induk Regata Lingga 2025 mengadakan kunjungan kepada Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (PERKIBAR).

Kunjungan diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, semalam.

Beliau berkata, ini bagi menyampaikan jemputan rasmi bagi menyertai acara perlumbaan perahu edisi ketiga itu berikutan penyertaan cemerlang PERKIBAR dalam Regata Lingga 2023.

“Kehadiran pasukan dari Brunei Darussalam pada edisi lalu dilihat dapat meningkatkan reputasi Regata Lingga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Semasa pertemuan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Regata Lingga 2025, Hamizan Yahya membentangkan maklumat terkini mengenai penganjuran Regata Lingga 2025 dari 28 hingga 30 November depan di Tebingan Sungai Lingga.

Sementara itu, Yang Dipertua PERKIBAR, Haris Ibrahim, menyambut baik jemputan tersebut dan akan memberikan maklum balas rasmi mengenai penyertaan mereka dalam masa terdekat.