IEW 2025: Sarawak bakal muncul hab serantau transformasi tenaga bersih

KUCHING: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr. Hazland Abg Hipni mempengerusikan mesyuarat terakhir jawatankuasa pemandu bagi memastikan kelancaran penganjuran Minggu Tenaga Antarabangsa Keenam (IEW) 2025 dijadual berlangsung mulai 15 hingga 17 Julai ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

IEW 2025 yang bertemakan “Dari Sarawak ke Dunia: Perjalanan ke Kepimpinan Tenaga Bersih” dianjurkan oleh MEESty dan dikelolakan oleh Informa Markets dengan kerjasama Oil & Gas Asia (OGA).

Menurut Dr. Hazland, IEW akan dirasmi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dengan penganjuran itu, ia akan meletakkan Sarawak sebagai hab serantau bagi transformasi tenaga bersih.

Katanya, penganjuran persidangan ini memperlihatkan komitmen teguh Kerajaan Sarawak terhadap tenaga boleh diperbaharui, penyahkarbonan dan kelestarian.

“Ia akan menghimpunkan lebih 6,500 peserta dari 25 negara, termasuk 400 syarikat dari 30 negara dan 500 delegasi persidangan tempatan dan antarabangsa.

“IEW 2025 bukan sekadar pameran—ia merupakan platform strategik untuk dialog tenaga, kerjasama global, dan perkongsian ilmu,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkepentingan mengekalkan koordinasi yang kukuh dan menjayakan acara bertaraf dunia yang mencerminkan aspirasi Sarawak dalam sektor tenaga global.

Katanya, acara ini akan menampilkan pelbagai program berimpak tinggi, termasuk Sidang Kemuncak IEW 2025, sebuah forum kepimpinan pemikiran selama dua hari yang menghimpunkan penceramah antarabangsa, menteri tenaga, CEO, dan pembuat keputusan utama.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Dr Hazland sendiri serta pemimpin kanan dari Petros, Sarawak Energy Berhad, Siemens Energy, Schneider Electric antara penceramah nanti.

“IEW 2025 dijangka menjana peluang perniagaan berpotensi dianggarkan bernilai USD2.5 bilion dan merangsang pelaburan baharu dalam sektor tenaga Sarawak,” katanya.