Abang Johari bakal kongsi visi tenaga hijau Sarawak di Tokyo

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi mendapat penghormatan global apabila bakal berkongsi visi tenaga hijau Sarawak pada Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025 yang dijangka diadakan mulai 8 hingga 10 Julai ini di Tokyo, Jepun.

Dalam kenyataan media hari ini, Premier Sarawak dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk “Sarawak’s Hydrogen Vision: Catalysing Green Growth for ASEAN and Beyond” yang menggariskan hala tuju wilayah ini dalam menjadikan hidrogen sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi hijau serantau.

Ucapan tersebut dijangka memberi tumpuan kepada kepimpinan Sarawak dalam menerajui pembangunan ekonomi hidrogen di Asia Tenggara, khususnya melalui pelancaran “Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak” yang menetapkan strategi menyeluruh negeri itu dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui.

Antara intipati ucapan termasuk pendekatan bersepadu Sarawak dalam memanfaatkan sumber tenaga hidro, komitmen terhadap kerjasama awam-swasta serta pelaburan berterusan dalam teknologi hidrogen meliputi mobiliti hijau dan kesiapsiagaan untuk pasaran eksport.

Sarawak kini diiktiraf sebagai antara pendahulu pembangunan hidrogen hijau di rantau ini, hasil daripada sumber tenaga hidro yang melimpah, dasar yang jelas serta jaringan kerjasama antarabangsa yang strategik.

Penyertaan Abang Johari dalam persidangan ini bakal mengukuhkan lagi pengiktirafan global terhadap peranan negeri itu dalam membentuk masa depan tenaga bersih di Asia.

Persidangan Hidrogen Dunia Asia 2025 merupakan sebahagian daripada siri persidangan hidrogen dunia yang menghimpunkan pembuat dasar, pelabur dan peneraju industri bagi merangka pelan tindakan pembangunan hidrogen merentasi rantaian bekalan serantau dan global.