DARO: Penganjuran Sambutan Kongsi Gawai Raya Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, Daro merupakan usaha murni yang menggabungkan elemen kebudayaan dan pendidikan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, peogram yang bertemakan “Serumpun: Harmoni Lebaran, Meriah Gawai”, ini menampilkan penyatuan dua budaya besar dalam suasana muhibah dan harmoni.
“Sarawak merupakan negeri yang unik dengan kepelbagaian kaum dan agama. Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia mendidik generasi muda untuk saling menghormati, memahami adat budaya, dan hidup dalam semangat perpaduan,” katanya semasa berucap pada majlis tersebut, hari ini.
Beliau turut menggesa pelajar agar terus berusaha dalam pelajaran, membina akhlak mulia dan menjadi aset penting kepada negara pada masa hadapan.
“SK Hijrah Badong turut dipuji sebagai institusi yang memiliki sejarah yang unik serta persekitaran pembelajaran yang kondusif,” katanya.
Sempena program tersebut, Ahmad Johnie turut meluangkan masa melawat enam gerai yang disediakan oleh warga sekolah, menghidangkan pelbagai juadah tradisional Gawai dan Raya.
Gerai tersebut bukan sahaja menyajikan makanan tempatan, malah mencerminkan kekayaan budaya dan nilai kerjasama antara kaum.
Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh murid-murid dan sesi bermaaf-maafan antara warga sekolah dan tetamu, mencerminkan nilai kasih sayang dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
