Inisiatif Dapur HEP & Food Bank UiTM bantu pelajar B40

KUCHING: UiTM Cawangan Sarawak menjemput Timbalan Menteri Penyelarasan Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi untuk menyampaikan ucap tama pada hari pertama Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) ke-16 di Pontianak pada 9 September 2025.

Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Dr. Firdaus Abdullah berkata, KAIB dari 9 hingga 11 September 2025 itu akan diadakan di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Pontianak, Kalimantan, Indonesia.

Selain itu, UiTM Cawangan Sarawak turut berkongsi maklumat mengenai tujuh persidangan yang akan dianjurkan bersama oleh UiTMCS sehingga penghujung tahun ini, katanya dalam
kenyataan di sini hari ini.

Prof. Dr. Firdaus mengetuai delegasi UiTM Cawangan Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr. Abdul Rahman di pejabatnya di Menara LCDA di sini.

Semasa kunjungan itu, Dr. Abdul Rahman turut diberi penerangan ringkas mengenai program pengajian yang ditawarkan di UiTM Cawangan Sarawak.

Beliau berkata, dalam pada itu UiTMCS turut memperkenalkan inisiatif Dapur HEP & Food Bank untuk membantu golongan pelajar khususnya pelajar di kalangan keluarga B40 yang memerlukan bantuan makanan sepanjang proses pengajian mereka.

“Inisiatif ini telah membantu ramai pelajar mendapatkan keperluan makanan serta mengurangkan beban dan kos sara hidup yang perlu dihadapi pada masa kini,” katanya.

Perkara lain yang turut dibincangkan termasuk penganjuran program yang bertujuan memperkasakan sosio-ekonomi melalui keusahawanan di kalangan masyarakat khususnya di kawasan DUN Pantai Damai, katanya.

Rektor UiTMCS telah menyampaikan hasrat kepada Dr. Abdul Rahman bahawa UiTM Cawangan Sarawak sentiasa bersedia untuk menawarkan sokongan dan bantuan melalui khidmat kepakaran, penyelidikan dan inovasi serta pemindahan ilmu daripada warga UiTMCS untuk apa jua program pembangunan komuniti di bawah kementeriannya.

Sehubungan itu, UiTMCS telah menyerahkan beberapa kertas cadangan kepada Dr. Abdul Rahman untuk perhatian dan pertimbangan beliau.