KUCHING: Kehadiran pelbagai pihak membuktikan bahawa integriti bukan sekadar tanggungjawab peribadi, sebaliknya merupakan agenda nasional yang merentas sempadan organisasi.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato Sri’ Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tema “Integriti Teras Kemakmuran Sarawak” bertepatan dengan identiti Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya, agama, bahasa dan etnik.
“Integriti ditegaskan bukan sekadar pematuhan kepada peraturan atau usaha mengelakkan rasuah.
“Tetapi keselarasan antara nilai, keputusan dan tindakan, termasuk kesanggupan melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa yang melihat,”katanya.
Shamsul berkata demikian dalam ucapan aluan sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 (HiS2026) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Di peringkat nasional, katanya, usaha memperkukuhkan integriti dan tatakelola terus menunjukkan perkembangan positif melalui Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Tambannya, antara pencapaian tersebut ialah kedudukan Malaysia yang meningkat ke tangga ke-15 daripada 70 ekonomi dunia.
“Kedudukan tersebut dikeluarkan dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (IMD) 2026, selain peningkatan dalam kecekapan kerajaan dan perniagaan,”ujarnya.
Di samping itu, jelasnya, setakat ini, sebanyak 447 projek RKB telah disiapkan dengan anggaran penjimatan kos pematuhan RM2.95 bilion.
Manakala skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International meningkat kepada 52 daripada 100,katanya.
Jelasnya, Institut Integriti Malaysia (IIM) melaksanakan pelbagai inisiatif pada 2026, termasuk Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) dan Sijil Unggul Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE).
Sementara itu, beliau berkata, pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) mulai 1 Ogos 2026 turut menuntut tahap integriti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan yang tinggi dalam kalangan penjawat awam.
Tegasnya, dalam era digital yang dipengaruhi AI, ekonomi digital, ancaman siber dan tuntutan ketelusan, integriti bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan strategik negara.
“Integriti tidak boleh hanya diajar, ia mesti dibentuk.
“Integriti tidak boleh hanya dilaungkan, ia mesti diamalkan dan integriti tidak boleh hanya menjadi dasar, ia mesti menjadi budaya,”jelasnya.
